Pesawat Hawk 
TUDM Ditambah Baik

30 Oktober 2017


Pesawat Hawk 100 dan Hawk 200 TUDM (photo : TK)

KUANTAN  – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan melakukan penambahbaikan ke atas semua pesawat pejuang jenis Hawk 108 milik pasukan keselamatan berke­naan secara berperingkat-pe­ringkat bagi memastikan semua pesawat berkenaan berada dalam keadaan baik.

Panglimanya, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, perkara itu dilakukan kerana siasatan mendapati masalah teknikal pada kerangka sawat menjadi punca pesawat pejuang Hawk itu terhempas dan mengorbankan dua juruterbang TUDM di Chukai, Terengganu pada pertengahan Jun lalu.

“Punca kejadian itu menjurus kepada masalah teknikal di bahagian rangka sawat pesawat terbabit. Sebagai tindakan susulan, kita sudah membuat penyelenggaraan terhadap dua pesawat Hawk 108 pada bulan lalu.

“Pesawat berkenaan sudah diuji dan dalam keadaan baik. Kami akan membuat penyelenggaraan terhadap semua pesawat jenis yang sama secara berperingkat,” katanya ketika ditemui pemberita sele­pas Maj­­lis Penganugerahan Sayap Pe­ner­bangan Kuartermaster­ Udara di Pangkalan Udara Kuantan di sini, hari ini.

Pada 15 Jun lalu, dua juruterbang TUDM, Mejar Mohd. Hasri Zahari, 31, dan Mejar Mohd. Yazmi Mohamed Yusof, 39, ditemukan terbunuh pada pukul 2.30 petang kira-kira 54 kilometer dari Pangkalan TUDM Kuantan selepas pesawat Hawk 108 yang diterbangkan mereka terhempas di kawasan hutan di Chukai.

Sementara itu, Affendi berkata, pusat pemerintahan Markas Wilayah Udara 1 yang sebelum ini ditempatkan di Pangkalan Udara Kuala Lumpur akan dipindahkan ke Pangkalan Udara Kuantan pada tahun depan.

Beliau berkata, pemindahan itu akan turut melibatkan 200 pegawai dan anggota markas be­r­kenaan.

“Sehubungan itu, kita kini me­lakukan proses penambahbaikan di Pangkalan Udara Kuantan sebagai persediaan. Kita membina bangunan baharu dan kuarters.

“Diharapkan ia dapat di­siapkan pada hujung tahun ini supaya perancangan memin­dahkan Markas Wilayah Udara 1 dapat dilakukan tahun depan,” katanya.

(Utusan)

0 Response to "Pesawat Hawk 
TUDM Ditambah Baik"

Post a Comment

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel