Boustead Mampu Refit Kapal Selam Scorpene TLDM

Tulisan ini tampil di Berita harian pada tanggal 9 Maret 2016, tentang program refit kapal selam KD TAR setahun yang lalu.

24 Januari 2018


LAPISAN luar badan KD Tunku Abdul Rahman yang ditanggalkan untuk kerja penyelenggaraan atau refit kapal selam. (photo : Berita Harian)


Kapal Selam TLDM Tidak Pernah Gagal dalam Tugasan

KAPAL selam pertama negara, Kapal Diraja (KD) Tunku Abdul Rahman, yang ditauliahkan pada tahun 2009, tidak pernah gagal melaksanakan peranannya sebagai aset pertahanan strategik maritim dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

Meskipun pelbagai tohmahan dilontarkan pihak tertentu termasuk kononnya kapal selam kelas Scorpene buatan Perancis itu tidak boleh menyelam, ia tidak menjejaskan operasi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menggunakan aset berkenaan.

Malah, Panglima TLDM, Laksamana Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, menegaskan selama tujuh tahun berkhidmat di bawah Angkatan Kapal Selam TLDM, KD Tunku Abdul Rahman bersama sebuah lagi kapal selam kelas sama, iaitu KD Tun Abdul Razak terbabit dalam pelbagai operasi rutin di dasar laut.

Katanya, setiap aset yang diamanahkan kepada TLDM dimanfaatkan sepenuhnya untuk melaksanakan operasi pertahanan sehingga ke tahap apabila aset berkenaan perlu direhatkan untuk menjalani proses penyelenggaraan, demi keberkesanan operasi dan keselamatan anggota.


KAPAL selam KD Tunku Abdul Rahman menjalani rutin penyelenggaraan atau refit kapal selam di Markas Angkatan Kapal Selam (MAKS) dan Limbungan Boustead DCNS Naval Corporation Sdn Bhd di Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu. (photo : Berita Harian)

"Sejak tiba di Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar pada 17 September 2009, KD Tunku Abdul Rahman memainkan peranannya selaku teras utama pertahanan maritim negara dan menyempurnakan pelbagai misi serta tugasan dengan cemerlang sepanjang tempoh pengoperasian.

"Selepas tujuh tahun beroperasi, aset strategik negara ini kini perlu menjalani rutin pasang pulih atau refit bagi memastikan ia selamat dan sedia untuk dioperasikan di tahap optimum pada masa hadapan.

"Ini secara tidak langsung membuktikan kapal selam TLDM berfungsi dan sentiasa digerakkan untuk melakukan operasi pertahanan di dasar laut dan atas sebab itulah ia perlu diselenggara. Jadi apa yang orang kata kononnya kapal selam kita tidak boleh menyelam adalah tidak benar," katanya.

Infrastruktur paling lengkap

Terdahulu Ahmad Kamarulzaman meninjau operasi rutin pasang pulih atau refit kapal selam KD Tunku Abdul Rahman dan kemudahan penyelenggaraan aset terbabit di Markas Angkatan Kapal Selam (MAKS) dan limbungan Boustead DCNS Naval Corporation Sdn Bhd di Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu, baru-baru ini.


Refit kapal selam KD TAR (photo : DCNS)

Yang turut hadir ialah Panglima Angkatan Kapal Selam, Laksamana Muda Datuk Abdul Rahman Ayob dan Panglima Wilayah Laut Dua, Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar, Datuk Khairul Anuar Yahya.

Ahmad Kamarulzaman juga meninjau seluruh kawasan refit kapal selam yang disiapkan syarikat Trans Resources Corporation Sdn Bhd (TRC) bermula 8 September 2014 dan selesai sepenuhnya pada 14 Januari lalu.

Ia membabitkan kerja penyediaan tiga blok bangunan menempatkan tujuh bengkel iaitu Bengkel Piping, Hull, Machining, Combat Systems, Composite, Mengecat dan Bengkel Bateri bagi melaksanakan kerja penyelenggaraan serta pembaikan kapal selam.

Pembinaan bengkel dan kemudahan terbabit menjadikan TLDM sebagai angkatan tentera laut yang memiliki infrastruktur penyelenggaraan kapal selam kelas Scorpene paling lengkap di Asia Tenggara.


Dinding kapal selam Scorpene menggunakan teknologi anechoic tile/coating untuk membloking sonar (photo : Daily Mail)

Pangkalan kapal selam terunggul

Ahmad Kamarulzaman berkata, kemudahan itu dapat mengurangkan keperluan untuk menghantar sebahagian besar komponen atau peralatan kapal selam ke luar negara untuk diselenggara dan dibaiki.

"Dengan terbinanya infrastruktur ini, ia menjadikan MAKS TLDM sebagai pangkalan kapal selam Scorpene terunggul di rantau ini.


HydroCat Robot membersihkan anachoic coating kapal selam Scorpene TLDM (photo : MMP)

"Kemudahan dan infrastruktur ini juga mampu menampung 250 pekerja limbungan dalam satu masa," katanya.

Beliau berkata, program pasang pulih atau refit kapal selam perlu dilaksanakan di Malaysia agar dapat memberi pendedahan dan peluang kepada industri tempatan terbabit dalam aktiviti penyelenggaraan atau pasang pulih kapal selam.

Pendekatan itu, katanya, secara tidak langsung mengurangkan kebergantungan kepada tenaga mahir asing dan pengaliran mata wang ringgit ke luar negara, selain menjaga kerahsiaan aset strategik negara.

(Berita Harian)

0 Response to "Boustead Mampu Refit Kapal Selam Scorpene TLDM"

Post a Comment

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel