84 Tahun TLDM : Transformasi Pemacu Kecemerlangan

28 April 2018


KD Mahamiru, 1 diantara 4 kapal MCMV Lerici class (photo : TLDM)

TLDM lonjak transformasi 
ke arah kecemerlangan ATM

SEJAK ditubuhkan pada 27 April 1934, Tentera Laut Di­raja Malaysia (TLDM) yang menjengah usia 84 tahun kini me­ngalami banyak perubahan. Seiring peredaran masa dengan peningkatan teknologi, TLDM giat berusaha melonjak transformasi ke arah pemantapan dalam menjaga keselamatan maritim negara.

TLDM yang menyambut Hari Ulang Tahun (HUT) ke-84 pada tahun ini dengan tema ‘Transformasi Pemacu Kecemerlangan’ te­lah menetapkan matlamat jangka panjang untuk memperkukuhkan armada­nya yang lebih kredibel dan versatil.


Program 15 to 5 (image : TLDM)

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, transformasi tersebut juga mendokong Transformasi Nasional 2050 (TN50) sebagai wawasan baharu dan bermulanya titik perubahan menuju ke arah kecemerlangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan TLDM.

Sehubungan itu, TLDM akan memberi fokus kepada fasa awal yang melibatkan peningkatan keupa­yaan bermula 2021 sehingga 2030 termasuk rancangan perolehan aset dua buah kapal sokongan pelbagai peranan (MRSS) selain perolehan 14 buah kapal misi pesisir (LMS).


6 kapal ronda NGPV telah diusulkan (photo : Malaysian Defence)

“Ini termasuklah rancangan perolehan helikopter mengikut keperluan sejajar dengan kemasukan kapal baharu kelak. Setakat ini TLDM mengoperasikan dua skuadron dan kita sasarkan satu lagi skuadron untuk keperluan peperangan antikapal selam (ASW) dan beberapa jenis helikopter utiliti.

“Malah, kita juga mahu menambah enam buah kapal ronda (PV) dan juga menggantikan bot tempur CB-90 dalam program fasa pertama. Kita telah usulkan dan keputusan diluluskan oleh kerajaan,” katanya kepada ketika ditemui pemberita dalam majlis Jasamu Dikenang, Fair Winds and Following Seas di KD Sri Gombak baru-baru ini.


Pesanan 2 buah kapal MRSS akan diputuskan (photo : Malaysian Defence)

Ahmad Kamarulzaman turut me­nyifatkan penambahan aset maritim akan membantu mengurangkan kerugian negara sebanyak 10 peratus atau bersamaan RM1 bi­lion setiap tahun.

“Berdasarkan kajian, negara rugi sebanyak RM10 bilion berikutan kegiatan haram seperti penyeludupan dan pencerobohan nelayan asing. Oleh itu, kita yakin dapat kurangkan kerugian tersebut yang juga merupakan satu pelaburan dalam aspek pe­ngurusan sumber dengan adanya aset baharu,” ujarnya.

Malah Ahmad Kamarulzaman berkata, program transformasi ‘15 to 5’ juga memfokuskan peningkat­an keupayaan armada TLDM yang turut diperluaskan kepada seluruh aspek pengurusan perkhidmatan itu.


14 kapal LMS akan melengkapi armada TLDM (photo : Shephard)

Menurutnya, ini termasuklah pengetahuan, kepakaran dan kemahiran dalam pengendalian aset terutama kapal jenis LCS dan LMS yang bakal memasuki perkhidmatan itu menjelang tahun 2020.

“Fasa pertama program ‘15 to 5’ melibatkan perolehan aset tambahan sebanyak 14 buah kapal LMS, enam buah kapal PV dan dua buah kapal MRSS terma­suklah perolehan terkini enam buah LCS dan empat buah LMS sebelum ini yang menjadikan jumlah keseluruhan 32 buah kapal.

“Jadi, ia semestinya meningkatkan keupayaan TLDM yang memerlukan warganya yang berketrampilan, berpengetahuan dan kompeten pada masa hadapan,” ujarnya.


18 bot tempur CB-90 akan diganti (photo : dockstavarvet)

Sementara itu, Ahmad Ka­ma­rulzaman berkata, sasaran dan mat­lamat TLDM terhadap usaha diplomasi pertahanan dapat dilihat melalui penglibatan secara aktif da­lam pelbagai program peringkat nasional dan antarabangsa melalui pendekatan pelbagai dimensi.

“Usaha TLDM terhadap diplomasi pertahanan ini juga secara tidak langsung menyumbang kepada memperkasakan teras kebajikan, keselamatan dan kesiapsiagaan Kementerian Pertahanan.

“Selain itu, diplomasi pertahanan TLDM juga telah menyum­bang kepada usaha-usaha bagi memperkasakan keyakinan rakyat kepada komitmen kerajaan di da­lam memastikan kedaulatan dan keamanan negara,” katanya.


6 kapal LCS telah dipesan (photo : TLDM)

Dalam perkembangan lain, Ahmad Kamarulzaman turut menegaskan, TLDM akan terus berusa­ha memastikan disiplin pegawai dan anggotanya berada pada tahap ter­tinggi bagi mengelakkan diri dalam isu membabitkan dadah, judi serta rasuah.

Tegasnya, setakat ini TLDM meng­adakan pelbagai inisiatif membanteras kes salah laku dalam perkhidmatan itu dengan membudaya dan memperkasakan nilai integriti melalui Bahagian Inspektorat Jeneral dan Penguatkuasaan Undang-undang Cawa­ngan Provos TLDM.

“Pengurusan ATM dan TLDM juga telah mengadaptasi Pelan Integriti Nasional (PIN) dalam mewujudkan Pelan Integriti ATM dan Pelan Integriti TLDM yang diguna pakai di dalam perkhidmat­an. Ini termasuklah kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak tahun 2015,” tegasnya.

(Utusan)

0 Response to "84 Tahun TLDM : Transformasi Pemacu Kecemerlangan"

Post a Comment

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel