Aset Kawalan, Pertahanan Negara di Sabah akan Ditambah

15 Februari 2019


Bot pemintas laju TLDM (photo : Bernama)

KOTA KINABALU: Aset kawalan dan pertahanan negara terutamanya di perairan Sabah akan ditambah selewatnya hujung tahun ini.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, kementeriannya telah pun membuat permohonan pembelian aset kepada Kementerian Kewangan dan meletakkannya sebagai keutamaan.

“Pada tahun ini, kita akan menambah Bot Pemitas Laju atau Fact Interceptor Craft (FIC) dan bilangannya bergantung kepada kelulusan kewangan serta jumlahnya juga akan mampu menampung keperluan keselamatan di Sabah.

“Kita sentiasa memohon untuk melebihkan pembelian aset tapi kita juga kena lihat kemampuan kewangan dari masa ke semasa.

“Kementerian Kewangan memang positif dalam hal ini, kita yakin bila ada pertumbuhan ekonomi, keutamaan akan diberi khasnya kepada keselamatan di negeri ini,” katanya.

Mohamad juga berkata, kedudukan keselamatan negara terutamanya di Sabah berada pada tahap yang baik.

“Sekarang kita lihat ramai pelancong daripada luar khasnya dari China datang ke Sabah dan ini menunjukkan keyakinan mereka terhadap keselamatan kita sekaligus membawa perkembangan ekonomi negara khususnya di Sabah,” katanya selepas mengadakan kujungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu, Mohamad menyatakan kerajaan negeri berpuas hati dengan kawalan keselamatan oleh pasukan keselamatan di Sabah.

Pada pertemuan itu, Mohd Shafie juga telah memberi pandangan berkenaan keselamatan dan telah diambil maklum oleh pihaknya terutama perkembangan ekonomi di perairan Filipina serta sempadan Indonesia.

Mengenai penambahan anggota, Mohamad mendedahkan, pada masa sekarang tidak ada keperluan penambahan anggota keselamatan di negeri ini.

“Keanggotaan buat masa sekarang mencukupi, kita akan tambah ikut keperluan sekiranya ada pertambahan kem dan pusat-pusat operasi yang baharu.

"Buat masa sekarang kita boleh anggota yang ada untuk menjaga keselamatan adalah mencukupi,” kata beliau.

Terdahulu, Mohamad Sabu yang diiringi Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri.

(Utusan Borneo)

0 Response to "Aset Kawalan, Pertahanan Negara di Sabah akan Ditambah"

Post a Comment

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel