Tujuh Pesawat CN235 TUDM Mampu Dipanjang Hayat 15 Tahun, Ubah Peronda Maritim

28 Maret 2019


Bahagian dalam pesawat CN235 yang mampu diubah suai daripada pesawat pengangkut kepada pesawat rondaan maritim (MPA) menerusi menaik taraf sistem sedia ada (photo : Utusan)

LANGKAWI - Pesawat pengangkut CN235 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bukan sahaja boleh dipanjangkan hayat perkhidmatannya kepada 15 tahun lagi tetapi mampu diubah suai menjadi pesawat rondaan maritim (MPA).

Begitu dinyatakan Naib Presiden Sokongan Pengguna PT Dirgantara Indonesia, Tedi Permadi, iaitu syarikat pengeluar pesawat itu yang berpangkalan di Bandung.

Beliau berkata, kesemua tujuh pesawat berkenaan yang sudah berusia kira-kira 20 tahun, kini sedang menjalani Program Pemanjangan Hayat Perkhidmatan (SLEP).

“Sebuah daripadanya baru selesai menjalani proses pendawaian semula di Kuching, Sarawak dan diserahkan semula kepada TUDM hari ini diikuti pesawat lain yang dijangka selesai tahun depan.

“Ia merangkumi pendawaian semula di bahagian sistem enjin, minyak, eletrikal dan avionik,” katanya ketika ditemui semasa Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA ‘19) di sini, hari ini.

Majlis penyerahan pesawat CN235 dan sijil kepada pegawai dan anggota TUDM yang terlibat dalam proses pendawaian semula pesawat tersebut yang mengambil masa tiga bulan, dilakukan di LIMA hari ini.

Dalam pada itu menurut Tedi, selain menaik taraf CN235 menerusi SLEP, pihaknya turut menawarkan pengubahsuaian dua pesawat berkenaan kepada MPA dan pembelian dua pesawat baharu jenis sama.

Beliau walau bagaimanapun enggan menyatakan kos pakej bagi kedua-dua urusniaga itu.

“Sekiranya dilaksanakan (pengubahsuaian), TUDM boleh memperluaskan fungsi CN235 untuk rondaan maritim pada masa depan,” katanya.

Kata beliau, pengubahsuaian itu nanti akan melibatkan antaranya penukaran sistem radar pengesan, pengesan inframerah, sistem kompter teknikal, sistem komunikasi digital dan peralatan pemprosesan isyarat dan penerima (ESM).

(Utusan)

0 Response to "Tujuh Pesawat CN235 TUDM Mampu Dipanjang Hayat 15 Tahun, Ubah Peronda Maritim"

Post a Comment

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel