TH Heavy Sedia Jadi Peneraju Industri OPV

09 April 2019


Model OPV dari TH Heavy (photo : Lowyat)

LANGKAWI: TH Heavy Engineering Bhd (TH Heavy) bersedia menjadi peneraju dalam industri pembinaan Kapal Peronda Luar Pantai (OPV) untuk kegunaan agensi penguatkuasaan di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH Heavy, Suhaimi Badrul Jamil, berkata syarikat kini giat menyiapkan pembinaan tiga OPV bernilai RM740 juta untuk kegunaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

"Awal tahun depan, ketiga-tiga kapal yang sedang dibina di Limbungan Pulau Indah, Selangor itu bakal diserahkan kepada Maritim Malaysia.

"Berbekalkan pengalaman itu, kami mampu membina kapal yang panjangnya mencecah sehingga 120 meter," katanya ketika ditemui di gerai pameran TH Heavy di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini, hari ini.

Beliau berkata, berbekalkan 400 pekerja yang mahir dalam pembinaan kapal, TH Heavy yakin memperoleh projek baharu seterusnya membantu menjana keuntungan kepada syarikat.

"TH Heavy berbangga apabila menjadi menerima tunggal sijil pengiktirafan daripada Jabatan Laut Malaysia (JLM) berkaitan keselamatan dan kawalan aset serta kerja-kerja baik pulih kapal di limbungan.

"Jadi, pelanggan kami tidak perlu risau terhadap aset mereka yang dihantar ke limbungan untuk dibaiki atau aset baharu yang kami bina untuk kegunaan mereka," katanya.

Selain itu, Suhaimi berkata, TH Heavy juga adalah penerima sijil Organisasi Standard Antarabangsa (ISO) iaitu ISO 9001:2015, ISO 14001:2015 dan Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan OHSAS 18001:2007.

(Berita Harian)

0 Response to "TH Heavy Sedia Jadi Peneraju Industri OPV"

Post a Comment

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel