Eks Taming Sari Bukti Keunggulan TLDM Kendali Persenjataan Peluru Berpandu

17 Juli 2019


Peluncuran misil Sea Skua dan Exocet selama latihan (all photos : RMN)

KUANTAN – Eksesais Taming Sari 19/2019 menyaksikan kejayaan Tentera Laut Diraja Malaysia melakukan penembakan peluru berpandu anti kapal, Exocet MM40 Block II dan Sea Skua.

Eksesais Taming Sari yang merupakan kemuncak Eksesais Kerismas 26/2019 yang telah dilaksanakan semenjak 1 Julai yang lalu.

Penembakan peluru berpandu Exocet MM40 Block II telah dilancarkan oleh kapal KD Kasturi manakala dua peluru berpandu Sea Skua telah dilancarkan dari helikopter Super Lynx.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong turut hadir menyaksikan latihan ini.



“Apa yang saya lihat adalah TLDM mempunyai keupayaan untuk mengendalikan keupayaan teknologi baharu,

“Kalau dilengkapkan dengan lebih moden, saya percaya TLDM mampu melakukannya,” kata Menteri Pertahanan dalam sidang media di Markas Wilayah laut 1 (MAWILLA 1) di Kuantan, hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia merupakan negara maritim dan perlu menjaga khazanah lautnya.

“Saya berharap kelengkapan TLDM dipertingkatkan dari masa ke semasa,” ujarnya yang turut berpuas hati dengan kejayaan tersebut.



Eks Kerismas merupakan latihan terbesar buat TLDM. Latihan ketenteraan yang dijalankan di kawasan laut pantai timur Semenanjung Malaysia menyaksikan kehadiran 13 buah kapal dan sebuah kapal selam TLDM.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Markas Pemerintahan Armada Barat, latihan ini juga turut menyaksikan kehadiran aset-aset TUDM seperti F/A-18D, helikopter EC-725 dan pesawat rondaan maritim Beechcraft B200T.

“Latihan ini dapat memberikan impak positif kepada komuniti maritim di Pantai Timur Semenanjung Malaysia khususnya keyakinan mereka terhadap kemampuan serta komitmen ATM amnya dan TLDM khasnya dalam menjaga keselamatan perairan negara,” jelas kenyataan tersebut.

(Air Times)

0 Response to "Eks Taming Sari Bukti Keunggulan TLDM Kendali Persenjataan Peluru Berpandu"

Post a Comment

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel