Eksesais Linud Malindo Perkukuh Hubungan

28 Juli 2019


Eksesais Linud Malindo 2019 (photos : Utusan)

KOTA BHARU - Eksesais Linud Malindo yang melibatkan Batalion Kelapan Rejimen Renjer Diraja (8 RRD) (Para), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Batalion Infantri Pararider 501/Bajra Yudha, Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD) telah berakhir hari ini.

Eksesais yang bermula sejak Ahad lalu dilaksanakan untuk kedua-dua kumpulan bertukar strategi peperangan.

Pegawai Perisikan 8 RRD Para, Leftenan Suhanraj Rajasegaran berkata,  eksesais berkenaan bertujuan mengasah kemahiran mengenai latihan peperangan konvensional.

Menurutnya, latihan itu melibatkan 38 pegawai dan 486 anggota dari ATM dan empat pegawai dan 36 anggota negara jiran.

"Eksesais ini berkonsepkan latihan operasi payung terjun yang memfokuskan kepada terjun 'jatuhan besar-besaran', guguran udara dan latihan peperangan konvensional.

"Simulasi peperangan selama tiga hari ini bermula dengan sekumpulan pasukan perisikan membuat peninjauan lokasi yang sesuai untuk menerjunkan anggota tentera di dalam kawasan musuh ," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Eksesais Linud Malindo 2019 di Pantai Irama di sini, hari ini.



Majlis penutup berkenaan dirasmikan oleh Pengarah Latih Markas Tentera Darat (OPLAT), Kolonel Asri Shukor.

Yang turut hadir, Asisten Operasi Kostrad, TNI-AD Kol. Inf. Elkines. Villando Dewangga dan Pemangku Panglima 10 Briged, Lt. Kol. Ahmad Fitri Othman. 

Suhanraj berkata, simulasi berkenaan membabitkan sejauh kira-kira 40 kilometer bermula di Cherang Ruku, Pasir Puteh sehingga ke Pantai Irama di sini.

"Dalam tempoh 72 jam itu, peserta hanya dibekalkan dengan rangsum (ration), senjata dan amunisi untuk keperluan dalam tempoh tersebut.

"Mereka perlu berjalan kaki dan akan berperang dengan musuh untuk mencapai objektif yang ditetapkan," katanya

Tambahnya, latihan kali ini memberi peluang kepada peserta untuk menajamkan kemahiran mereka dalam situasi peperangan dalam hutan dan serangan bandar.

(Utusan)

0 Response to "Eksesais Linud Malindo Perkukuh Hubungan"

Post a Comment

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel