Kabinet Akan Putuskan Isu Helikopter Tempur MD530G

27 November 2019


Helikopter serang ringan MD530G (photo : vimeo)

KUALA LUMPUR – Isu pembelian helikopter MD530G akan diserahkan kepada pihak kabinet sebelum akhir tahun ini.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menegaskan isu tersebut perlu diputuskan semasa sidang Dewan Rakyat selepas menerima pandangan dari Peguam Negara dan Bahagian Dasar Kementerian Pertahanan.

“Peguam Negara (Tommy Thomas) dan pihak dasar (Bahagian Dasar Kementerian Pertahanan) telah memberi pandangan mereka dan dua pandangan utama itu akan dibawa ke kabinet untuk membuat keputusan.

“Kalau boleh, saya ingin bawa ke kabinet sebelum akhir tahun ini supaya ada keputusan terhadap enam helikopter yang ditempah dan sepatutnya tiba pada November 2017,” jelas Mohamad semasa sidang media selepas menyempurnakan Persidangan Malaysia Institute of Defence and Security (Mempertahan Negara Maritim: Masa Depan Operasi Bersama ATM) di Pullman Kuala Lumpur City Centre, hari ini.

Sebelum ini, pihak Kementerian Pertahanan menyatakan kelewatan penghantaran helikopter MD530G adalah berpunca dari  isu teknikal yang berkaitan Syarikat Pembuat Asal (OEM).

Pada November 2016, Halaman Optima telah menandatangani kontrak pembekalan enam buah helikopter MD530G bernilai RM 321.9 juta. Pada Februari 2017, Destini Prima telah mengambil alih syarikat pembekal melalui pembelian saham sebanyak 70%.

Pihak Kementerian Pertahanan turut menjelaskan penghantaran MD530G tertangguh sebanyak tiga kali dan RM 112.6 juta telah dibayar kepada syarikat pembuat, MD Helicopters.

(AirTimes)

0 Response to "Kabinet Akan Putuskan Isu Helikopter Tempur MD530G"

Post a Comment

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel