Dua Kapal LMS Dijangka Tiba Tahun Ini

15 Oktober 2019


KD Keris kapal Littoral Mission Ship pertama (photo : adf20021021)

Ada kapal baharu atau tidak, TLDM tetap laksana tugas jaga perairan negara

KUALA LUMPUR – Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany menegaskan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tetap melakukan rondaan di perairan negara walaupun terpaksa menggunakan kapal-kapal yang lama.

Beliau menyatakan perkara tersebut ketika diminta menggulas sama ada TLDM akan melucut tauliah kapal-kapal lama sekiranya kapal baharu mula digunakan.

“Buat masa sekarang, kita gunakan kapal yang sedia ada untuk menjaga perairan negara pada setiap masa tanpa mengira waktu mengikut pengarahan yang diterima,

“Sama ada kita mempunyai kapal baharu mahupun kapal lama, kita tetap menggalas tugas untuk menjaga perairan negara,” tegas Panglima Tentera Laut selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Pertahanan di Wisma Pertahanan, hari ini.

Menurut beliau, dua buah kapal Littoral Mission Ship (LMS) dijangka akan tiba pada tahun ini.

“Pada ketika ini, kerajaan telah bersetuju untuk memenuhi keperluan 6 buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) dan 4 buah LMS,

“Namun begitu, program LCS mengalami sedikit penangguhan berikutan masalah teknikal dan kita akan lihat bagaimana pihak kontraktor berusaha untuk mengatasi isu tersebut,” kata Reza.

Sementara itu, beliau turut menyatakan perolehan Fast Interceptor Craft (FIC) dan helikopter maritim diteruskan dan masih lagi diperingkat pembidaan.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu hari ini menjelaskan sebanyak RM 2 bilion telah diperuntukkan kepada TLDM.

Sementara itu, sebanyak RM 5.7 bilion telah diperuntukkan kepada Tentera Darat Malaysia, RM 2.5 bilion kepada Tentera Udara Diraja Malaysia dan RM 1.4 bilion kepada Markas Angkatan Bersama.

(AirTimes)

0 Response to "Dua Kapal LMS Dijangka Tiba Tahun Ini"

Post a Comment

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel